Sunday, September 14, 2008

Majlis Berbuka Puasa Din Kerengge

Bandaraya Melaka, 13 Sept 2008 - Majlis Berbuka Puasa sempena Ramadhan Al-Mubarak anjuran Presiden Melaka Big Bike Club (MBBC) saudara Din Kerengge telah diadakan di perkarangan kediaman beliau di Bukit Palah 2 km dari Bandaraya Melaka.

"Majlis yang diadakan setiap tahun ini dijangka dapat merapatkan lagi silaturahim antara pemilik-pemilik motosikal berkuasa tinggi di seluruh Melaka, Muar, Seremban dan Kuala Lumpur," kata Din Kerengga semasa melayan karenah bikers yang hadir pada malam tersebut.

Sementara itu salah seorang ahli Persatuan Radio Amatur Melaka, saudara Cain berkata, inilah peluang peminat motosikal berkuasa tinggi melihat dengan lebih dekat jentera dua roda yang bunyinya dapat menyegarkan para pengguna jalan raya.

Antara kelab-kelab motosikal yang hadir seperti Melaka Big Bike Kelab (MBBC) yang dulu dikenali sebagai Melaka Bikers, Soul Bikers Motor Club (SBMC), Southern Dragon Motor Club (SDMC) yang dulu dikenali sebagai Senawang Bikers, Muar Bikers (MrBC), BP Hawk (Batu Pahat Bikers), Kelab Superbike dari Kuala Lumpur dan sebuah kelab Motosikal Harley Davidson yang berpangkalan di Melaka, Ghost Rider.

Saudara Jeff yang merupakan ahli aktif Ghost Rider berkata, " kita berpeluang beramah mesra dengan bikers semasa program bike fest, tetapi ini merupakan kaedah yang berbeza yang dapat menemukan bikers dalam kita menunaikan tuntutan agama".

Majlis berbuka puasa bermula seawal masuknya waktu solat maghrib dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh saudara Bai dan sejurus selepas itu para hadirin menikmati jamuan berbuka yang disediakan oleh Ibu Bapa kepada Din Kerengge. Antara menu yang disajikan untuk melengkapkan hidangan nasi putih seperti ayam masak sambal, pajeri terung, sambal belacan, ikan masin, ulam-ulam, dan banyak lagi. Para tetamu juga disajikan dengan kueh mueh tradisional selain hidangan pencuci mulut buah-buahan.

"Peluang beribadah seperti ini memang ditunggu-tunggu setiap tahun, selepas ini saya akan menjemput para hadirin bagi menjayakan majlis Hari Raya yang bakal menyusul selepas Ramadhan ini", kata Din Kerengge.

No comments: